Free Web Hosting Provider - Web Hosting - E-commerce - High Speed Internet - Free Web Page
Search the Web

Ahkam Islami Najahudin's Homepage

    Ahkam Vol. I

 

TIDAK KHUSYUK DALAM SOLAT

Soalan :

Apakah hukum khusyuk dalam solat? Adakah batal solat jika tidak khusyuk?

Jawapan :

Tidak khusyuk di dalam solat mempunyai beberapa makna :

- Tidak khusyuk kerana seseorang itu banyak bergerak ketika solat seolah-olah dia bukan berada di dalam solat, seperti menggaru-garu badannya, melihat jam, berpaling, membetulkan serbannya, dan lain-lain seperti yang sering kita lihat.

Semua ini adalah pergerakan yang membatalkan solat kerana ia sia-sia, tidak lahir daripada seorang muslim yang mahu mengadap Tuhannya dengan hati dan seluruh fikirannya, juga tidak lahir daripada muslim yang menghormati solat dan merasa sedar akan nilainya.

- Tidak khusyuk kerana pergerakan yang sedikit sahaja, fikiran melayang atau hati tidak hadir dalam solat. Walaupun ini tidak membatalkan solat, tetapi ia menghilangkan rohnya. Roh solat adalah khusyuk.

 

SUNAT QABLIYAH & TAHIYATUL MASJID

Soalan :

Seorang datang ke masjid ketika mendengar azan subuh. Apabila sampai di masjid, beliau hendak melaksanakan solat sunat, tetapi difikiran tertanya-tanya kerana pada ketika itu beliau boleh melaksanakan dua solat sunat, iaitu sunat tahiyatul masjid dan juga sunat subuh (qabliah). Jika nak di buat kedua-dua solat tersebut masanya tak mengizinkan. Persolannya, manakah lebih afdhal antara kedua-dua solat tersebut?

Jawapan :

Disunatkan mengerjakan solat dua rakaat bagi orang yang memasuki masjid. Ia dinamakan dengan solat Tahiyatul Masjid, iaitu solat menghormati masjid. Maksud menghormati adalah mengagung tuan masjid (Allah).

Sabda Rasulullah : "Apabila salah seorang kamu masuk ke masjid, jangan duduk sehingga solat dua rakaat." (Riwayat al-Jamaah daripada Abi Qatadah, dan Ibnu Majah daripada Abu Hurairah)

Kesunahan melaksanakan solat Tahiyatul Masjid akan luput dengan duduk yang lama, atau duduk sekejap dalam keadaan dia tidak lupa dan tahu tentang kesunnahannya.

Mengenai soalan saudara, saya nukilkan petikan kitab jawi klasik Furu' Masa'il, karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani (vol.1 hal. 93). Saya terjemahkan secara bebas : Soal: Adakah mendapat fadilat tahiyatul masjid dengan mengerjakan sembahyang fardhu atau sembahyang sunat qabliyah Subuh atau Zohor? Apakah ketika mengerjakan sembahyang fardhu atau sunat qabliyah itu perlu diniatkan kedua-duanya, niat sembahyang fardu / qabliyah dan niat sembahyang Tahiyatul Masjid ? Ataupun tak perlu niat, hanya niat sembahyang fardu / qabliyah sahaja untuk mendapatkan fadilat Tahiyatul Masjid?

Jawab: Untuk mendapatkan fadhilat Tahiyatul Masjid, tidak perlu berniat tahiyatul masjid ketika mengerjakan sembahyang fardhu / qabliyah. Inilah pendapat yang muktamad.

Dalam kes yang saudara hadapi, saudara tidak perlu mengerjakan solat Tahiyatul Masjid. Memadai dengan mengerjakan qabliyah Subuh. Dengan mengerjakannya, saudara akan memperoleh fadhilat tahiyatul masjid.

Dr Wahbah al-Zuhaili mengatakan: "Mengerjakan solat fardu atau lainnya (solat sunat), dapat menggantikan solat Tahiyatul Masjid dan, tak perlu niat Tahiyatul Masjid." al-Feqh al-Islami wa Adillatuh, Wahbah Zuhaily

 

AURAT SOLAT

Soalan :

Apakah hanya memakai kain pelikat dikira sah sembahyang sedangkan kalau dipandang dari arah bawah (kaki keatas) tentu auratnya terbuka dan ketika rukuk akan kelihatan aurat (sekiranya kain yang dipakai dibawah paras aurat)? Apakah pakaian terbaik untuk mengelakkan aurat kita dapat dilihat dari arah atas atau bawah?

Jawapan :

Definasi aurat menurut bahasa ialah kekurangan. Menurut istilah syarak pula ialah sesuatu yang wajib disembunyikan dan yang haram dilihat. Aurat adalah salah satu daripada syarat sah solat. Menurut ijma’ ulama’, aurat itu wajib ditutup dalam semua keadaan sama ada di dalam di luar solat. Hanya, bentuk penutupan itu sahja yang berbeza-beza menurut keadaan-keadaan tertentu..

Firman Allah: “Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada setiap kali ke tempat ibadat (atau mengerjakan solat). (al-A’raf : 31) Rasulullah bersabda: “Allah tidak menerima sembahyang perempuan yang telah baligh tanpa tudung kepala.” (Riwayat al-Hakim)

Mengenai masalah yang saudara tanyakan, jawapannya adalah:

1. Aurat mestilah ditutup dari arah keliling dan atas, tidak dari arah bawah.

2. Apabila seseorang itu memakai kain yang singkat, kemudian ketika rukuk atau sujud terlihatlah auratnya, apakah batal sembahyangnya? Sebagai jawapannya, Syeikh Daud al-Fatany telah di tanya : Apakah batal sembahyang seseorang yang memakai kain singkat, kemudian semasa ruku’ dan sujud terlihat auratnya. Orang ini pula sebenarnya sengaja memakai kain berkenaan, padahal ada kain lain yang tidak singkat yang boleh dipakainya?

Syeikh Daud menjawab tidak batal sembahyangnya, kerana aurat berkenaan kelihatan dikira dari arah bawah, bukan dari arah keliling atau atas. (Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathany, Furu’ al-Masa’il, vol. 1, hal. 76, cet. Darul Fikr)

3. Tentang mahu memakai pakaian apa dan bagaimana caranya adalah terpulanglah kepada kita. Asalkan dapat menutup batas-batas aurat yang telah ditetapkan di dalam sembahyang. Sehingga, jika bersembahyang dengan tidak memakai baju, hanya pakai kain pelikat dengan menutup anggota aurat asasi sahaja, ia sudah dikira sah sembahyangnya! Walaupun sah sembahyangnya, tetapi dari segi adab antara makhluk dan al-Khaliq dikira sebagai sangat tidak patut.

 

ZAKAT TEMPAT SIMPAN BARANG?

Soalan :

Seorang peniaga yang mengeksport barang menyediakan peti dan bekas untuk menyimpan dan mempamerkan barang-barangnya. Adakah bekas-bekas yang digunakan untuk tujuan tersebut dikenakan zakat?

Jawapan :

Ulama’ fikah menjelaskan bahawa yang dikenakan zakar itu adalah harta perniagaan, iaitu barang-barang yang telah dikhususkan untuk perniagaan. Ini bermakna barang-barang itu berpindah-pindah daripada seorang kepada seorang yang lain untuk dijual.

Sekiranya ada barang-barang yang tidak diniatkan untuk dijual, ia tidak dikenakan zakat. Contohnya ialah bekas atau tempat yang disediakan untuk meletak barang-barang jualan. Sekalipun ia adalah bangunan kedai yang ada di dalamnya meja, alat timbangan dan sebagainya, ia tidak dinilai dalam pengeluaran zakat kerana ia bukan untuk dijual. Semua ini tidak dikira sebagai modal perniagaan dalam hitungan zakat.

Zakat barang perniagaan didasarkan kepada beberapa perkara berikut :

Harta-harta pindah yang ada di dalam perniagaan, barang-barang yang hendak dijual dan hutang-hutang pelanggannya yang ada harapan untuk dibayar dikenakan zakat. Sebaliknya, barang-barang tetap yang tidak dijual tidak dikira.

Jadi apa yang diambil kira ialah sama ada sesuatu barang itu untuk dijual atau tidak. Bekas yang digunakan untuk meletak barang-barang dagangan jika tidak dijual, tidak dikenakan zakat, tapi apabila dijual bersama barang itu ia wajib dikeluarkan zakat.

 

BILA KANAK-KANAK BOLEH BERPUASA?

Soalan:

Bilakah kanak-kanak lelaki dan perempuan boleh berpuasa?Adakah had umur tertentu yang digariskan oleh syarak?

Jawapan:

Sebuah hadis Rasulullah yang bermaksud:

 

“Diangkat pena itu kerana tiga perkara:Seorang kanak-kanak kecil sehingga dia dewasa,orang yang sedang tidur sehingga terjaga dan orang gila sehingga dia normal kembali.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Makna ‘diangkat pena’ itu adalah mereka tidak ditaklifkan atau dipertanggungjawabkan untuk menunaikan sebarang ibadat. Agama Islam menjaga sifat semulajadi manusia.

Namun, kanak-kanak harus dilatih sejak kecil lagi supaya mahir melakukan ibadat dan taat kepada Allah. Rasulullah bersabda yang bermaksud:

 

“Suruhlah anak-anakmu mengerjakan solat ketika umur mereka tujuh tahun dan pukullah mereka jika enggan melakukannya ketika umur mereka sepuluh tahun.”

(Riwayat Ahmad dan Abu Daud )

Puasa juga dikira ibadat dan kewajipan seperti solat. Kita wajib melatih anak-anak menunaikan ibadat ini. Tahap umur berapakah latihan ini mesti dilakukan? Tidak semestinya semasa umur kanak-kanak itu tujuh tahun kerana puasa lebih susah daripada solat. Terpulang kepada kemampuan kanak-kanak tersebut.

Jika bapa atau penjaganya mendapati kanak-kanak itu sudah mampu berpuasa,bolehlah dia melatih anaknya berpuasa beberapa hari pada setiap bulan, setahun demi setahun. Misalnya, dalam setahun dia melatihnya berpuasa sebanyak tiga hari, pada tahun yang berikutnya selama seminggu, seterusnya dua minggu dan sehingga sebulan penuh. Apabila dia telah baligh dan ditaklifkan berpuasa, tidak lagi susah untuk mengerjakan puasa kerana sudah biasa dan mahir sebelum ini. Inilah cara Islam melatih kanak-kanak sejak dari kecik lagi dengan adab Islam dan kewajipan –kewajipannya.

*Yusuf al-Qaradhawi, Fatawa al-Mu’asarah, Jld.1, Dar al-Salam, Kaherah, 1990

 

NAMA ANAK LUAR NIKAH & ANAK ANGKAT

Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan kali pertama, 6 Mac 1978 mengambil keputusan berikut :

i. Anak zina atau anak luar nikah, sama ada diikuti dengan perkahwinan kedua pasangan ibu bapanya atau tidak hendaklah dibin atau dibintikan kepada Abdullah.

ii. Anak angkat dibin atau dibintikan kepada bapa asalnya. Ini berdasarkan firman Allah: yang bermaksud : ’Panggillah anak-anak angkat itu dengan berbinkan kepada bapa mereka sendiri”

 

ZAKAT WANG KWSP

Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan kali kelima, 16-17 November 1982 mengambil keputusan berikut :

Wang Kumpulan Simpanan Pekerja bagi pekerja-pekerja Islam wajib dikeluarkan zakat apabila cukup haulnya, iaitu setahun setelah penerimaanya.

* Himpunan Fatwa Kebangsaan

 

Jawapan Oleh :

Panel Ahkam Online

BACK BACK