![]()
Ahkam Vol. XV
KONSEP TABARRUJ
Soalan :
Bolehkah saudara ulaskan maksud
Tabbaruj dengan mendalam? Apa yang saya faham wanita yang memakai gincu(lipstik)
juga termasuk ke dalam golongan wanita Tabarruj. Tolong huraikan dan bagaimana
kaedah terbaik untuk menangani masalah tersebut terutama masalah lipstik yang
seolah-olah tidak dapat dipisahkan daripada wanita
Jawapan :
Alhamdulillah, inilah jawapannya:
Firman Allah Taala:
"Wahai Nabi, katakanlah kepada
isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, supaya
mereka mengenakan jilbab ke seluruh badannya, yang demikian itu supaya mereka
lebih mudah untuk dikenal; kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah
Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al-Ahzab:
59)
Di dalam surah al-Nur, ayat 31:
"Katakanlah kepada wanita
beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan
janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa keliahtan padanya,
dan hendaklah mereka melepaskan kain tudung ke dadanya, dan janganlah
menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka.."
Di atas adalah di antara nash
syar'I yang menjadi dasar berpakaian dalam Islam dan berhias (utk wanita).
Kemudian pada ayat lain Allah
berfirman:
"…dan hendaklah kamu tetap
di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkahlaku (tabarruj) seperti
orang-orang jahiliah dahulu". (Al-Ahzab:33)
Ayat ini pula menceritakan tentang
larangan bertabarruj sebagaimana orang jahiliah dahulu.
Baiklah, berdasarkan seluruh
nash-nash mengenai aurat dan berhias, di hadapan kita sekarang ini ada beberapa
persoalan yang perlu dipecahkan, antaranya ialah:
1) Batasan aurat - Anggota asas
yang disepakati oleh para ulamak agar ditutup ialah seluruh tubuh badan kecuali
muka dan dua telapak tangan.
2) Apakah muka termasuk aurat -
Muka pula telah diperselisihkan di kalangan mereka, ada yang kata ia adalah
aurat dan ada yang kata bukan aurat.
Kalau kita pilih pendapat yang
mengatakan bahawa muka adalah aurat… Habis cerita. Soal gincu, bedak, losyen
dan celak dsbnya sudah tentu tak timbul. Ia nyata haram dipamerkan di hadapan
lelaki ajnabi.
Tetapi, bagaimana jika kita memilih
bahawa muka itu bukan aurat - kebanyakkan kita memilih pendapat ini -, di mana
kedudukan celak, gincu, bedak dll. Sekarang ini kita pilihlah bahawa muka itu
bukan aurat… Tetapi, sebelum itu lebih baik kita bincangkan dahulu mengenai
masalah tabarruj, yang sudah tentu berkaitan dengan soal muka bukan aurat.
Apa itu tabarruj yang di maksudkan
di dalam firman Allah:
"…dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan
bertingkahlaku (tabarruj) seperti orang-orang jahiliah dahulu (pertama)".
(Al-Ahzab:33)
Ayat di atas sebagai irsyad (
petunjuk/tunjuk ajar) kepada isteri-isteri Nabi s.a.w. agar tetap di rumah dan
tidak bertabarruj sebagaimana orang-orang jahiliyah dahulu.
Tabarruj dikatakan sebagai berjalan
dengan berlenggang-lenggok atau memperelokkannya. Ada juga yang mengatakan
bahawa tabarruj ialah melepaskan tudung kepalanya tetapi tidak mengikat/mengetatkannya,
lalu terlihatlah rantai leher, anting-anting dan lehernya. Lagi satu pendapat
lain mengatakan, tabarruj ialah memperlihatkan keelokkan/kecantikkannya yang
sepatutnya wajib ditutup.
Tabarruj berasal dari kata BARAJUN,
bererti luas. Dan ada yang mengatakan ia berasal dari kata BURJUN yang bererti
tinggi.
Selesai mengenai erti tabarruj…
Dan, lihat kembali ayat al-Quran: "….orang-orang jahiliyah dahulu."
Tabarruj yang dikaitkan dengan
orang-orang jahiliyah dahulu. Siapakah mereka itu? Pada zaman mana orang-orang
jahiliyah dahulu berada? Di dalam tafsir al-Qurthubi menyatakan beberapa
pendapat mengenainya:
1. Iaitu masa antara Adam dan Nuh a.s., ini adalah pendapat al-Hakam bin Uyainah.
2. Ibnu Abbas berpendapat: Masa di
antara Nuh dan Idris a.s.
3. Al-Kalbi: Masa di antara Nuh dan
Ibrahim a.s.
4. Jamaah: Masa di antara Musa dan
Isa a.s.
5. Abu Aliyah: Masa di antara Daud
dan Sulaiman a.s.
6. Al-Sya'bi: Masa di antara Isa
a.s. dan Muhamad s.a.w.
Namun semua pendapat itu tidak
disandarkan dengan satu sumber yang kukuh dan sahih. Cuma yang pasti, semua
mereka di atas bersepakat mengatakan bahawa jarak masa antaranya dan masa Nabi
Muhamad dibangkitkan sebagai Rasul adalah jauh (jangkamasa yang begitu lama).
Apabila al-Quran menyebutkan
"jahiliyah dahulu" - dahulu/lama/pertama - bermaksud di sana ada yang
dikatakan sebagai `jahiliah baru' atau `jahiliyah kedua'.
Bila masa jahiliyah kedua berada?
Iaitu selepas jahiliyah pertama dan sedikit masa sebelum kebangkitan Nabi kita
Muhamad s.a.w.
Mengapa jahilyah pertama/dahulu ini
dikaitkan dengan tabarruj? Buruk sangatkah mereka ini? Hodoh sangatkah perangai
depa ni? Ya, gambarannya lebih kurang begini:
Perempuan-perempuan jahiliyah
pertama/awal pakaiannya - memakai baju dari lu'lu', atau baju dari mutiara dan
intan yang tidak berjahit kedua belah, dan berpakaian tipis yang menampakkan
tubuh badannya. Dengan berpakaian begini, mereka akan berjalan di jalan-jalan
mempamerkan diri mereka kepada kaum lelaki. Dan, dapat dirasakan bahawa zaman
berkenaan adalah zaman yang penuh dengan kemewahan.
Era jahiliyah kedua yang akan
berhubung dengan era kebangkitan Muhamad sebagai rasul tidaklah sampai ke
peringkat begitu teruk. Namun ada juga sedikit sebanyak tabarruj yang berlaku,
hingga kadangkala sampai ke peringkat telanjang terus. Ini dapat dibuktikan
melalui hadis riwayat Muslim, bagaimana kaum wanita zaman itu bertawaf dalam
keadaan telanjang bulat.
Sekarang ini jelaslah sudah mengapa
Allah mengaitkan al-jahiliyah al-`Ula (jahiliyah pertama/dahulu) dengan
tabarruj. Dan, dengan penjelasan di atas tidaklah bermakna yang terlarang ialah
bertabarruj seburuk orang-orang jahiliyah pertama, kalau kurang daripada itu
tidak mengapa. Tak apalah kalau tabarruj sikit-sikit. Ini adalah fahaman yang
salah, kerana Allah menyebutkan sifat-sifat tabarruj jahiliyah pertama adalah
bertujuan memberi penjelasan realiti yang berlaku ketika itu, bukannya mahu
mengaitkan pengecualian hukum selain daripada itu. Ia lebih berbentuk penjelasan
tentang keji dan berlawanannya perbuatan itu dengan citarasa serta naluri
kemanusiaan.
Perlu diingatkan bahawa maksud
tabarruj yang dilarang di dalam Islam ialah membuka aurat - berdasarkan kepada
siapa dia berhadapan. Kalau di hadapan dengan lelaki asing, apa yang perlu
ditutup. Jika tidak memenuhi kehendak ini, maka dia sudah tergolong di dalam
perempuan yg bertabarruj. Begitulah seterusnya ketika di hadapan mahram, orang
gaji dsbnya…
Ya, selesailah sudah penjelasan
mengenai tabarruj. Saya harap ia mudah difahami dan tidak membosankan. Dan, kita
teruskan lagi ke pembahasan selanjutnya. Kali ini mengenai berhias pula.
Mari kita lihat lagi firman Allah: “Katakanlah
kepada wanita beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara
kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa
kelihatan padanya, dan hendaklah mereka melepaskan kain tudung ke dadanya, dan
janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka..” (al-Nur,
ayat 31)
Sebagaimana yang telah disinggung
di atas, bahawa para ulamak berselisih pendapat mengenai, apakah muka itu aurat
atau bukan. Dan ayat di atas telah menjadi hujah kepada kedua-dua kelompok
dengan penafsiran yang berbeda.
Kita ambil sedikit petikan ayat: “…..dan
janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa kelihatan
padanya.”
Terjemahan ayat : “kecuali
yang biasa kelihatan padanya..” dapat juga diterjemahkan: “kecuali apa
yang zahir” (illa ma zahara).
Pada ayat ini Allah Taala melarang
wanita mempamirkan perhiasan, kecuali apa yang zahir. Persoalannya di sini
ialah, apa maksud perhiasan zahir yang boleh dipamirkan? Jadi, dapat difahami
bahawa perhiasan ada dua:
1. Yang zahir/nyata
2. Yang tidak zahir/nyata
(batin/dalaman/tersembunyi)
Apakah perhiasan zahir? Apakah pula
perhiasan yang tidak nyata? Para ulamak yang mengatakan muka itu adalah aurat,
mereka menafsirkan bahawa perhiasan yang zahir itu ialah pakaian itu sendiri.
Bila wanita berpakaian, bertudung dan menutup muka, maka itulah dia maksud
perhiasan yang zahir. Perhiasan yang tidak nyata pula ialah, rantai leher,
gelang, anting-anting dsbnya..
Manakala menurut ulamak yang
berpendapat muka itu bukan aurat menafsirkan bahawa maksud perhiasan yang zahir
yang boleh diperlihatkan di hadapan lelaki ialah celak dan cincin. Ada yang
menambah telapak tangan. Ada yang tambah warna telapak tangan, iaitu pewarna
yang dibubuh di telapak tangan (termasuk kuku). Dan, macam-macam lagilah..
tetapi di sekitar itulah. Perhiasan yang tersembunyi pula ialah rantai leher,
anting-anting dsbnya.
Berikut ini adalah apa yang
tersebut di dalam Zadul Masir fi Ilmit Tafsir oleh Ibnul Jauzi:
Maksud `perhiasan yang zahir/apa
yang biasa dilihat’, terdapat tujuh pendapat, iaitu:
1. Ia bermaksud pakaian. Ini adalah
riwayat dari Abu Ahwash dari Ibnu Mas’ud.
2. Bererti telapak tangan, cincin
dan muka - Dari Said bin Jubair dari Ibnu Abbas
3. Bererti celak dan cincin – Juga dari Said bin Jubair dari Ibnu Abbas.
4. Bererti gelang, cincin dan celak – Al-Misywar bin Mukhrimah.
5. Bererti celak, cincin dan pewarna telapak tangan – Pendapat dari Mujahid.
6. Bererti cincin dan gelang – Dari al-Hasan.
7. Bererti celak, cincin dan
pewarna telapak tangan – dari al-Dhahhak.
Itulah pendapat mereka tentang
maksud perhiasan zahir yang biasa dilihat. Berdasarkan pendapat Ibnu Abbas,
Al-Misywar bin Mukhrimah, Mujahid, dan al-Dhahhak dan al-Hasan dapat kita
simpulkan bahawa yang boleh dipamerkan ialah perhiasan yang tidak mungkin
diselindung yang memang biasa dipakai oleh para wanita. Kalau perhiasan di muka
apa lagi kalau bukan celak. Kalau di telapak tangan apa lagi kalau bukan cincin.
Cuma ada beberapa ulamak yang mengatakan bahawa muka itu sendiri adalah
perhiasan. Dan telapak tangan itu sendiri adalah perhiasan. Jadi, mereka tidak
memasukkan celak dan cincin sebagai perhiasan yang boleh dipamerkan.
Mereka yang memasukkan celak dan
pewarna telapak tangan sebagai perhiasan yang boleh dipamerkan di hadapan lelaki
ajnabi tidaklah dihadkan terhadap dua perkara itu sahaja. Ia disebutkan hanyalah
sebagai wakil dari perhiasan-perhiasan lain yang biasa digunakan pada muka atau
telapak tangan. Ia berdasarkan adat, tradisi dan kebiasaan satu-satu kelompok
masyarakat.
Berikut ini adalah antara perhiasan
yang ada dan biasa digunakan oleh para wanita pada zaman Rasulullah s.a.w atau
tradisi arab dahulu:
1. Khidhab – Pewarna untuk tangan
2. Shufrah – Pewarna kuning untuk
wajah
3. Kalkun – Pewarna untuk
memerahkan wajah
4. Isfidaj – Pewarna putih untuk
wanita berhias.
5. Celak – Berhias pada mata
(Nanti akan disertakan dalil tentang kewujudan perhiasan ini)
Zaman kita ini sudah tentu yang
biasa digunakan sebagai perhiasan muka ialah gincu, bedak, losyen dan juga
celak. Jadi, bila celak dan segala macam di atas itu boleh, mengapa tidak gincu?
Sebab yang dibenarkan bukanlah diri celak itu secara khusus tetapi sesuatu yang
lebih umum iaitu – perhiasan yang biasa dilihat, yang biasa digunakan pada
muka. Dan gincu serta bedak adalah termasuk di bawah keumuman ini.
Begitu juga dengan perwarna kuku,
ia termasuk di bawah perhiasan yang boleh dipamerkan tetapi hendaklah dari bahan
yang tidak menghalang air. Kerana jika air terhalang dari sampai ke kuku akan
mengakibatkan wuduk tidak sah.
Berikut ini adalah sebahagian dalil
kewujudan perhiasan di atas:
Dari Zainab binti Abu Salamah, dia
berkata: Ketika datang berita kematian Abu Sufian dari Syam, Ummu Habibah
meminta diberikan wangi-wangian berwarna kuning pada hari yang ketiga. Lalu dia
mengusapkannya pada kedua pipinnya dan kedua lengannya. Dia berkata:
Sesungguhnya aku benar-benar tidak memerlukan ini, kalaulah bukan kerana aku
pernah mendengar Nabi s.a.w. bersabda: “Tidak halal bagi seorang wanita yang
beriman kepada Allah dan hari kemudian untuk berkabung atas mayat lebih dari
tiga hari, kecuali atas suami, maka dia berkabung atasnya empat bulan sepuluh
hari. (HR Bukhari & Muslim)
Wangi-wangian di dalam hadis
bermaksud pewarna yang menyerlah warnanya dan tersembunyi baunya (tidak
menyerlah dan menyemarak). Adakalanya ia disapukan di muka untuk memperelok
warna muka atau pada telapak tangan.
Wajib berhias setelah tamat tempoh
3 hari berkabung kerana kematian, kecuali kematian suami yang tempoh perkabungan
adalah selama 4 bulan 10 hari. Berhias di sini adalah untuk keluar dari tempoh
perkabungan.
Dari Ibnu Abbas r.a., bahawa
seorang wanita datang kepada Rasulullah s.a.w. untuk berbai’ah kepadanya,
tetapi perempuan itu tidak ber –ikhtidab, sehingga baginda tidak mahu
membai’ahnya melainkan setelah ber-ikhtidab (HR Abu Daud)
Ikhtidab ialah sejenis pewarna yang
biasa digunakan pada telapak tangan pada zaman itu.
Dari Abu Hurairah r.a katanya:
Telah bersabda Rasulullah s.a.w.: “Wangi-wangian lelaki adalah apa yang jelas
baunya dan tersembunyi warnanya. Dan perhiasan wanita ialah apa yang jelas
warnanya dan tersembunyi baunya (HR al-Tarmizi)
Dari Imran bin Husin, bahawa Nabi
Allah s.a.w. bersabda: “… ingatlah bahawa wangi-wangian lelaki adalah bau
tanpa warna. (HR Abu Daud)
Dari Ummu Athiyah, dia berkata:
Adalah kami dilarang untuk berkabung terhadap seorang mayat lebih dari tiga
hari, kecuali terhadap suami, maka empat bulan sepuluh hari. Kami tidak boleh
bercelak, berwangi-wangian dan memakai pakaian bercelup. (HR Bukhari &
Muslim)
Apabila kita menerima hujah yang
mengatakan bahawa perhiasan yang zahir atau yang biasa dilihat itu adalah celak,
gincu, bedak dan segala suku-sakatnya, maka perlu kita ketahui juga batas-batas
yang perlu dipelihara, iaitu :
1. Memelihara niat dan tujuan berhias. Tidak bertujuan untuk menarik pandangan
dan perhatian lelaki ajnabi.
2. Dari segi praktiknya hendaklah bertepatan dengan niatnya. Iaitu tidak berhias
secara berlebih-lebihan hingga atau yang dapat menarik perhatian serta menggugah
perasaan lelaki ajnabi. Seperti bercelak dengan cara dan gaya yang dapat menarik
perhatian. Atau bergincu dengan warna yang begitu menyerlah – merah
menyala-nyala. Atau berbedak dengan bedak yang berwarna warni. Di tambah dengan
keharuman yang menyemarak. Atau memanjangkan kuku atau sebagainya.
3. Tidak dari bahan yang mengeluarkan bau wangi dan harum menyemarak serta
tersebar. Boleh dari bahan yang wangi tetapi yang tersembunyi baunya.
Ya, pokoknya bersoleklah secara
sopan, bersahaja dan kemas serta menampilkan ciri-ciri wanita yang baik. Tidak
kelihatan seperti wanita yang mahu memikat lelaki atau ciri-ciri wanita fasiq
dsbnya. Seperti kita lihat ramai wanita hari ini yang bersolek mengenakan gincu,
bedak dan segala macam… Melebihi dari sekadar yang dibenarkan oleh syarak.
Mereka ini berhias begini hanya diluar rumah sahaja, sedangkan ketika bersama
suami keadaan adalah sebaliknya.
Lebih baik lagi jika diniatkan
solekan itu sekadar untuk mengelakkan diri dari kusut masai, berserabut dan
tidak terurus. Berginculah sekadar mahu mengelakkan diri dari kelihatan lesu,
tak bermaya dan tidak cergas. Berbedak atau berlosyenlah sekadarnya sahaja
dengan tujuan mahu menjaga kesihatan kulit muka dsbnya.
Sudah tentu para wanita muslimah
dapat menggambarkan bagaimana cara hendak menghindarkan keadaan di atas. Dan..
Kalau sudah dapat menggambarkannya, itulah dia solekkan yang dibenarkan oleh
syarak ketika berhadapan dengan lelaki ajnabi. Sekadar mahu mengelakkan diri
dari kusut masai dan nampak tidak terurus.
Saudara yang bertanya berkata: Bagaimana
kaedah terbaik untuk menangani masalah tersebut terutama masalah lipstik yang
seolah-olah tidak dapat dipisahkan daripada wanita?
Jawapan : Bukan sekadar lipstik,
malahan umumnya wanita memang tidak dapat dipisahkan dengan bersolek. Sebab
sudah memang naluri semulajadi mereka sukakan begitu. Syeikh Athiyah Saqar
mengatakan: “Memperelok /menghias diri oleh seseorang manusia secara umumnya
mempunyai kepentingan/kebaikan. Dan secara khususnya, menghias diri bagi seorang
wanita mengandungi mara bahaya. Kecantikan adalah satu perkara yang disukai oleh
jiwa/naluri. Ia mempunyai tempat di dalam agama, di mana ia dituntut secara
syarak dengan kadar yang dapat membawa kepada tujuan yang baik darinya, serta
terhindar dari perkara-perkara yang diharamkan dari sudut cara, tujuan dan
maksud.”
Kesimpulan :
1. Sebahagian ulamak mengatakan
muka itu adalah aurat. Sebahagiannya mengatakan muka bukan aurat.
2. Tabarruj jahiliyah yang dilarang
di dalam Islam ialah membuka aurat di hadapan meraka yang haram melihatnya.
3. Kebanyakkan ulamak menyatakan
bahawa maksud firman Allah: “…kecuali apa yang biasa dilihat.” Adalah
sebagai celak dan cincin. Ada yang menambah dengan gelang tangan dan pewarna
tangan.
4. Bersolek pada muka dan telapak
tangan (termasuk kuku) adalah dibenarkan tetapi dalam batasan-batasan umum yang
telah ditetapkan syarak.
Sekian adanya. Wallhu a’lam
Rujukan
1.
Al-Quran
2. Ahsanul Kalam – Syeikh Athiyah
Sqar
3. Al-Hijab – Al-Maududi
4. Tahrir al-Mar’ah Fi Ashri
al-Risalah – Prof. Abdul Halim Muhamad Abu Syuqqah
5.
Fatawa Mu’asharah 1 – AL-Qardhawi
6. Fatawa Mu’asharah 2 –
AL-Qardhawi
Jawapan Oleh :
Panel Ahkam Online