![]()
Ahkam Vol. II
Soalan :
Apakah sah puasa seseorang itu sekiranya dia meneruskan makan sahur walaupun orang telah azan subuh? Apakah sah puasa itu sekiranya orang itu bangun lewat dan semasa azan tengah berkumandang, dia makan sahur sehingga azan habis dia masih makan?
Jawapan :
Firman Allah Taala:
"...Dan makan dan minumlah hingga nyata garis putih dari
garis hitam daripada fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga malam." (Al-Baqarah, 187). Mula berpuasa ialah apabila `nyata
garis putih dari garis hitam '. Ia bermaksud fajar (masuk subuh).
Masalah : Apakah sah puasa seseorang itu sekiranya dia
meneruskan makan sahur walaupun orang telah azan subuh?
Jawab : Tidak sah, kerana masih makan ketika atau setelah
terbit fajar.
Masalah : Apakah sah puasa itu sekiranya orang itu bangun
lewat, semasa azan tengah berkumandang, dia makan sahur sehingga azan habis, dia
masih makan.
Jawab : Juga tidak sah.
Rujukan :
Sayyid Sabiq, Feqh al-Sunnah, Cairo.
Soalan :
Apakah sah puasa orang yang berjimak pada malam bulan puasa?
Apakah sah puasa bagi orang yang berjimak pada malam hari pada bulan puasa,
tetapi hanya melakukan mandi wajib setelah terbit fajar tetapi sebelum terbit
matahari?
Jawapan :
Yang membatalkan puasa ialah jimak pada siang hari. Sedangkan
pada malam harinya dibolehkan, sekalipun mandi wajib setelah terbit fajar. Orang
yang berhadas besar sah berpuasa, kerana suci daripada hadas besar dan kecil
bukan syarat sah puasa.
Syarat-syarat sah puasa :
1.
Islam ketika berpuasa
2.
Mumaiyiz (dapat membeza)
3.
Suci daripada haidh, nifas dan wiladah (melahirkan anak)
4.
Berpuasa pada waktunya.
Al-Khatib al-Syarbini menjelaskan:
"Dan jika suci perempuan yang haidh pada malam hari dan
berniat puasa, seterusnya berpuasa atau berpuasa orang yang berjunub tidak mandi
terlebih dahulu, maka sah puasanya..."
(Lihat Mughnil Muhtaj, vol. 1, hal. 436)
Katanya lagi: "Ada hadis sahihain (al-Bukhari &
Muslim) yang mengatakan Nabi s.a.w. berpagi-pagi (subuh) dalam keadaan junub
daripada jima', bukan kerana mimpi, kemudian baginda mandi dan berpuasa."
(ibid.)
Rujukan :
Abdul Rahmana al-Jaziri, Al-Feqh Alal Mazahibil Arba'ah, vol
1
Al-Khatib al-Syarbini, Mughnil Muhtaj, vol 1
Soalan :
Saya seorang yang mengidap penyakit lelah dan menggunakan sejenis ubat berbentuk gas yang diletakkan pada bibir saya dan menyedut gas yang dikeluarkan untuk melegakan rasa lelah yang saya alami. Kemusykilan saya, adakah batal puasa saya jika saya mengunakan rawatan tersebut ketika saya sedang berpuasa?
Jawapan :
Bagi pesakit athma atau lelah, amalan penggunaan inhaler
tidak membatalkan puasa kerana yang disedut itu ialah gas dan untuk tujuan
perubatan. Ini adalah fatwa Syaikh Ben Baz dalam koleksi fatwanya (Fatawa al-Da`wah
Syaikh Abdul Aziz ben Baz, Grand Mufti of Saudi Arabia, Fatwa No 979)
Keharusan penggunaan inhaler bagi pesakit athma juga harus
berdasarkan fatwa umum dalam masalah ini oleh Syaikhul Islam Ibn Taymiyah (Majmu'
Fatawa Ibn Taymiyah, Jld 25, ms 248) Keharusan ini meliputi teknik perubatan
yang tidak menggunakan makanan atau minuman. Jika daripada jenis debu maka ia
diharuskan.
Imam Ibn Hazm al-Andalusi (al-Muhalla, Jld 6, ms 203) tidak
batal puasa dalam urusan perubatan termasuk suntikan atau menghirup serbuk.
Begiti juga Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia, Majlis Fatwa
Saudi (Fatwa Ben Baz), Fatwa Qardhawi (Fatawa Mu'asirat), Fatwa Syaltut (Fatwa
Islamiah), Fatwa al-Azhar (Atiyah Saqr) dan Fatwa Syaikhul Islam Ibn Taymiyah (Majmu'
Fatawa), pendapat Dr Abd Karim Zaidan (al-Mufassal), pendapat allamah wa
Syaikhul Azhar Sayyid Sabiq (Fiqh al-Sunnah) kesemuanya bersepakat, tidak batal
puasa penggunaan inhaler bagi pesakit athma.
Kita terpaksa menggunakan dalil fatwa dalam masalah ini
kerana ini adalah masalah baru yang tidak wujud semasa Imam-Imam besar Fiqh
dahulu.
Soalan :
Adakah menelan air liur membatalkan puasa?
Jawapan :
Jumhur fuqaha' berpendapat tidak batal puasa menelan air liur
(saliva). Air ludah termasuk dalam sesuatu yang amat sukar dihindari seperti
juga dengan debu jalanan, debunga dan serbuk tepung.
Madzhab Syafi'iy berpendapat batal puasa jika menelan kembali
air liur yang telah keluar dan berada di antara dua bibir.
Rujukan :
Prof Dr Abdul Karim Zaidan, al-Mufassal, Kuwait
Sayyid Sabiq, Feqh al-Sunnah, Cairo.
Soalan :
Apakah hukum seorang yang berpuasa dan tiba-tiba keluar air mazi daripada kemaluannya? Apakah perlu mandi?
Jawapan :
Tidak batal puasa (Imam Nawawi, al-Majmu', Jld 6, ms 365; Ibn
Hazm, al-Muhalla, Jld 6, ms 203)
Mazi tidak termasuk dalam definasi janabah. Ini adalah ijmak
ulama. Tidak perlu mandi hanya memadai dengan membasuh sahaja kerana ia najis. (Ibn
Rusyd, Bidayat Mujtahid, Jld 1, ms 85-90)
Soalan :
Adakah batal puasa apabila menyuntik sesuatu (ubat) ke dalam urat/badan walaupun dengan tujuan berubat (kerana memasukkan sesuatu kedalam rongga/urat)?
Jawapan :
Menurut al-Qardhawi terdapat 2 jenis suntikan jarum :
1.
Untuk pengubatan pada urat, otot atau bhg, kulit bawah -
semua ulama bahawa ia tidak membatalkan puasa
2.
Jarum yang suntikannya dapat digunakan utk menyampaikan sari
makanan ke dalam tubuh badan - Para ulamak berselisih pendapat; Pendapat pertama
mengatakan membatalkan puasa. Pendapat kedua mengatakan tidak membatalkan puasa.
Al-Qardhawi memilih pendapat kedua, namun beliau tidak menggalakkan melakukan
suntikan seperti itu pada siang bulan Ramadhan.
Soalan
:
Apakah
hukumnya memakai gincu bibir ketika berpuasa. Adakah akan menyebabkan terbatal
puasa atau terkurangnya pahala?
Jawapan
:
Bulan puasa adalah bulan kita memusatkan aktiviti hidup kita
untuk beribadat sebanyak mungkin dan meninggalkan apa jua yang mengurangkan
pahala puasa. Bergincu dengan warna-warna yang menyerlahkan kecantikan bibir dan
memberahikan lelaki, mencantikkan diri dan berhias bukan untuk suami adalah
tabarruj (perilaku wanita jahiliyah) dan amatlah malang jika ia masih berlaku di
bulan puasa.
Bagi
wanita ini, hakikat puasa sebagai jalan taqwa belum sampai kelubuk hatinya.
Bergincu di siang hari bertujuan mencantikkan diri untuk suami juga adalah suatu
yang membahayakan kerana si suaminya sedang berpuasa.
Hukum
bergincu dan kesannya ke atas puasa bergantung kepada beberapa keadaan:
1.
Sengaja bergincu dengan tujuan tabarruj (berhias), mengguna
pewarna yang memberahikan, jika pewarnanya tertelan oleh pemakainya, mengikut
madzhab Syafi'iy adalah batal puasa menelan sesuatu yang berada di atas bibir.
(al-Mughni, Jld 6, ms 407) Ini kerana memakai gincu itu disengajakan dan bukan
suatu keperluan. Sebaiknya wanita Islam bergincu dan berhias ialah di malam hari
untuk suaminya, jika perlu. Inilah juga pendapat madzhab Maliki dan Hanbali yang
menetapkan batal puasa jika bercelak di siang hari jika celak itu terasa di
kerongkong.
2.
Jika gincu dari jenis kalis air liur dan perasa atau warnanya
tidak luntur jika terkena air liur, maka tidak membatalkan puasa jika perasa dan
pewarnanya tidak terasa di kerongkong.
3.
Jika ada wanita yang perlu memakai gincu bertujuan merawat
dan menjaga bibir dari pecah kerana alahan kepada cuaca tropika; jika tertelan
perasa dan warnanya pada kadar sedikit, tidak membatalkan puasa. Ini dikiaskan
dengan pendapat madzhab Syafi'iy yang membenarkan wanita merasa makanan yang
dimasak atau yang akan dibelinya dan makanan bayi yang disediakan kerana suatu
keperluan. (al-Mughni, Jld 6, ms 407). ia bertabah harus jika bertujuan untuk
perubatan. Namun Imam Ibn Hanbal berpendapat dia lebih suka kalau semaksima
mungkin dielakkan (al-Mughni, Jld 3, ms 110).
Rujukan:
Imam Ibn Qudamah al-Hanbali, al-Mughni, Jld 6
Prof
Dr Abdul Karim Zaidan, al-Mufassal, Baghdad
Soalan
:
Kita
di malaysia,membayar zakat fitrah bertakliq kepada mazhab mana?
Jawapan
:
Memang benar, zakat fitrah hendaklah dikeluarkan dalam bentuk
makanan asas sesebuah negara. Inilah pendapat madzhab jumhur antaranya Syafi'iy,
Maliki dan Hanbali. Sementara Hanafi, Tsauri dan Syi'ah Imamiyah membolehkan
dalam bentuk selain makanan asas, seperti dengan wang. Alasan jumhur berdasarkan
hadith-hadith hasan-sahih yang menyebut dengan jelas perihal dikeluarkan dalam
bentuk makanan asas. Sifat ketelitian mereka dan hati-hati dengan nas memang
memihak kepada mereka (jumhur).
Fuqaha
minoriti yg mengharuskan melihat pula dari sudut dinamisme syari'at dan apa yang
maslahat bagi ummat setelah berlaku perubahan pada realiti, masa dan keperluan
asas manusia. Mereka berpendapat wang lebih mudah-tunai, lebh sempurna,
memudahkan pengurusan amil dan bermanfa'at segera kepada fakir-miskin.
Para pentahqeeq (penilai semula) antaranya Imam dan Syaikhul Islam (Majmu'
Fatawa, 25/282) dan Prof Dr al-Imam Abu Abdallah Yusof al-Qaradawi (Fatawa
Mu'asirat) bersetuju dengan pendapat Imam Abu Hanifah atas alasan wang kerana
keperluannya dan kemaslahatannya yang amat nyata. Inilah yang diterima pakai
oleh pihk berkuasa Malaysia sekarang. Allahu a'alam.
Soalan :
Boleh ustaz jelaskan tentang fidyah puasa?
Jawapan :
Dalil fidyah
Firman Allah Taala : "..Dan wajib atas orang yang
tidak berdaya berpuasa (kerana tua dsbnya) membayar fidyah, iaitu memberi makan
orang miskin.." (al-Baqarah:184)
Hukum fidyah:
Hukumnya adalah wajib berdasarkan firman Allah Taala di atas.
Jumlah fidyah yang wajib dibayar
Jumhur ulama mengatakan bahawa fidyah adalah sebanyak satu
cupak makanan asasi di negeri tempatnya tinggal, untuk setiap hari puasa yang
ditinggalkan.
Sebab-sebab Fidyah:
1.
Para ulamak bersepakat mengatakan orang yang tidak berdaya
mengerjakan puasa, adalah wajib membayar fidyah. Seperti orang tua yang lemah
dan sudah tidak mampu lagi untuk berpuasa. Selain daripada ayat al-Quran di atas,
Ibnu Abbas ada menjelaskan perkara ini adalah satu rukhsah (keringanan) daripada
Allah Taala.
2.
Para ulamak juga bersepakat mengatakan orang yang menderita
sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh juga diwajibkan membayar fidyah. Dia
tidak lagi diwajibkan berpuasa. Dasarnya ialah firman Allah Taala: "..Dan
Ia tidak menjadikan kamu menganggung sesuatu keberatan dan susah oayah dalam
perkara agama.." (Al-Hajj: 78)
3.
Bagi perempuan yang hamil atau menyusukan anak yang
bimbangkan keselamatan anaknya, dia dibenarkan berbuka. Juga diwajibkan
mengqadha' puasanya itu. Menurut jumhur ulama, dia juga diwajibkan membayar
fidyah untuk setiap puasa yang ditinggalkannya. Jika khuatirkan keselamatan diri
sendiri. Dalam masalah ini, hanya wajib qadha' sahaja, tidak fidyah. Inilah
pendapat semua ulamak. Dalilnya ialah ayat al-Quran di atas.
4.
Mereka yang lewat mengqadha'kan puasa Ramadhan, sehingga
datang Ramadhan berikutnya juga diwajibkan fidyah. Ini adalah pendapat Jumhur
ulama. Sedangkan Hanafi, tidak berpendapat begitu. Mereka berpendapat tidak
perlu fidyah. Jika kelewatan qadhak puasa itu kerana uzur, tidak wajib fidyah.
Masalah : Apakah fidyah bertambah dengan pertambahan tahun?
Menurut pendapat terkuat Syafi'i, fidyah bertambah dengan
pertambahan tahun. Alasan mereka ialah kewajipan yang berbentuk harta tidak
boleh disekalikan (jamak/himpunkan sekaligus). Maliki dan Hanbali berpendapat
tidak berganda dengan pertambahan tahun. Mereka menyamakannya dengan hukuman
hudud yang dikenakan sekaligus.
Masalah : Kelewatan qadha' puasa hingga datang Ramadhan
berikutnya - Fatwa al-Qardhawi
Dr. Yusof al-Qardhawi mengatakan bahawa sebahagian imam
berpendapat dalam kes ini diwajibkan mengqadha puasa berkenaan dan membayar
fidyah satu mud untuk setiap hari puasa yang ditinggalkan. Satu mud bersamaan
dengan setengah kilogram lebih sedikit. Katanya, inilah mazhab Syafi'i dan
Hanbali yang berdasarkan kepada amalan sejumlah sahabat. Manakala sebahagian
para imam yang lain tidak mewajibkan fidyah, namun qadha tetap wajib
dilaksanakan.
Masalah : Pendapat yang perlu diikut
Al-Qardhawi mengatakan memberi fidyah adalah satu amalan yang
baik, tetapi jika tidak membayarnya insyallah tidak ada dosa atasnya. Ini adalah
kerana tidak ada satupun riwayat yang sahih mengenainya dari Nabi s.a.w. Namun
sesiapa yang ingin mengeluarkan fidyah adalah terpuji pada sisi syara'. (Wahbah
Zuhaili, Fiqh Islami, Jld 2, ms 758; Dr Qardhawi, Fatawa Mu'asirat) Kita di
Malaysia ini, tidak ada salahnya kita beramal dengan mazhab Syafi'i, iaitu
membayar fidyah atas kelewatan qadha' puasa.
Rujukan :
Mughnil Muhtaj, vol. 1, al-Khatib al-Syarbini
Bujairimi Alal Khatib, vol. 2, al-Bujairimi
I'anah al-Thalibin, vol 2, al-Syatha
Fatawa Muashirah, vol 1, al-Qardhawi
Bidayatul Mujtahid, vol. 1, Ibnu Rusyd
Soalan :
Saya telah meninggalkan puasa (tahun lepas) sebanyak 16 hari
kerana menyusukan anak. Setahu saya, ia mesti diqada dan fidyah juga mesti
dibayar.
1.
Jika saya ingin membayar dalam bentuk wang, berapakah
jumlah wang yang patut saya bayar untuk 16 hari tersebut?
2.
Kepada siapa dan dimanakah tempat untuk saya membayar
fidyah tersebut?
3.
16 hari tersebut adalah termasuk 7 hari saya tidak
berpuasa kerana haid. Patutkah saya tolak 7 hari tersebut dan membayar fidyah
untuk hari yang selebihnya sahaja?
Jawapan :
1.
Fiqh Syafi'iy : Wajib membayar fidyah dan qadha berdasarkan
fatwa Ibn Abbas, Ibn Umar sebanyak 0.6 kg beras satu hari. Ini juga pendapat
Hanbali dan Maliki. Fatwa al-Qardhawi memadai membayar fidyah sahaja.
2.
Fidyah boleh diberikan kepada fakir miskin atau diserahkan
sahaja kepada penguasa (AJK masjid yg berhampiran)
3.
7 hari haidh itu perlu ditolak daripada jumlah hari yang
ditinggalkan.
Soalan :
Saya ingin membuat pertanyaan tentang puasa yang ditinggalkan dan pembayaran fidyah. Saya merasakan yang saya ada meninggalkan puasa ketika dalam usia remaja tapi tidak pasti akan jumlah harinya dan melebihi 10 tahun yang lepas. Bagaimana fidyah dikenakan ke atas saya?
Jawapan :
Fatwa al-Qardhawi (Fatawa Mu'asirat): Tidak ada nas yang
sarih (jelas) tentang fidyah daripada syarak mengenai puasa qadha. Al-Qardhawi
mengesyorkan anda hanya membuat estimate (aggaran) jumlah hari yang ditinggalkan
(lebih kurang) kemudian ganti mengikut kemampuan (boleh lakukan selang seli atau
pada Isnin-Khamis). Fidyah itu tidak wajib. Ia cuma mustahab (digalakkan jika
anda mampu) pada kadar nilai 0.6 kg beras pada setiap hari yang ditinggalkan.
Soalan :
Fidyah puasa diserahkan kepada fakir miskin. Persoalannya... dewasa ini, siapa yang ditakrifkan sebagai golongan miskin? Apakah peminta sedekah di tepi jalan dikira golongan miskin?
Jawapan :
Takrif Miskin
Firman Allah (maksud) "Adapun bahtera itu adalah
kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di laut." (al-Kahfi : 79)
Jumhur ulama' berpendapat orang miskin ialah orang yang masih
mempunyai harta (seperti dalam surah al-Kahfi mereka masih mempunyai harta spt
kapal, tapi masih miskin, macam nelayan di Malaysia hari ini) tetapi belum cukup
untuk menyarai hidupnya. Misalnya perbelanjaan harian ialah RM 10.00, tapi ia
hanya mampu mencari RM 7.00 sahaja.
Mereka yang meminta sedeqah di tepi jalan itu mungkin
termasuk dalam kategori fuqara' (orang fakir) yang lebih melarat dari orang
miskin. Mereka ini digolongkan dalam kategori rakyat termiskin. Orang fakir
berada dalam situasi di bawah tahap miskin, jika perbelanjaan harian ialah RM
10.00 sesiapa yang hanya ada RM 3.00, dia berada pada tahap fakir.
Rujukan :
Dr Abdul Karim Zaidan, al-Mufassal
Jawapan Oleh :
Panel Ahkam Online