Free Web Hosting Provider - Web Hosting - E-commerce - High Speed Internet - Free Web Page
Search the Web

Ahkam Islami Najahudin's Homepage

    Ahkam Vol. III

 

HUKUM MUZIK

Soalan :

Apakah hukum muzik dalam Islam?

 

Jawapan :

Inilah antara isu yang paling khilafiah (perselisihan ulama) dan diperbahaskan oleh fuqaha' sejak dahulu lagi. Ini kerana perkembangan seni muzik/nyanyian hanya berlaku pada abad yang terkemudian.

 

Di sini diperturunkan beberapa ringkasan daripada fatwa ulama Islam:

 

Syaikh Mahmud Syaltut (Bekas Rektor al-Azhar) telah mengeluarkan fatwanya dalam koleksi Fatwa beliau pada tahun 1960, Fatwa Syaltut, m/s 359 seperti berikut :

Mendengan muzik itu tidak haram berdasarkan empat keadaan berikut:

1.    Muzik termasuk perkara naluri manusia (fitrah) dan ia memberi kesan kepada kerehatan akliah dan jasmani manusia yang kepenatan dan kerisauan.

2.    Ia hendaklah mengikut jalan pertengahan yang sentiasa diambil oleh Islam; menolak muzik secara bulat-bulat (total) atau menerima muzik dengan berlebihan. Islam hanya mengambil dan menikmati muzik pada kadar yang sederhana.

3.    Kita berpegang dengan fuqaha' silam yang lebih hebat daripada kita yang membenarkan muzik secara bersyarat; misalnya al-Ghazali (Ihya' Ulumuddin, kitab al-Sima, ms 1142) mensyaratkan muzik itu bebas daripada arak, gadis penyanyi, kefasikan dan menggalak perzinaan.

 

Muzik menjadi haram apabila membawa kepada kelalaian. Menurut Imam al-Ghazali dalam membicarakan muzik yang melalaikan (m/s 1143) menggariskan muzik yang melalaikan ialah yang membuatkan seseorang meninggalkan atau mengabaikan pekerjaan yang lebih utama atau tinggi nilainya (solat, atau nafkah keluarga), lalai dalam mendengar muzik juga bermaksud pemusatan atau keasyikan yang berlebihan kepada muzik yang membawa ke tahap ketagihan.

 

 

Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam al-Fatawa al-Mu’asarah (Fatwa Masa Kini) m/s 265 jilid 7 & 8 dalam jawapannya kepada soalan hukum nyanyian dan muzik dalam Islam telah menyebut, antaranya :

1.    Nyanyian dengan peralatan muzik dan juga nyanyian tanpa peralatan muzik adalah masalah yang menimbulkan perselisihan dan perdebatan di kalangan ulama Islam sejak kurun yang pertama lagi. Mereka bagaimanapun telah bersepakat dalam sesetengah keadaan dan berselisih pendapat pada sesetengah keadaan yang lain.

 

2.    Mereka bersepakat bahawa setiap nyanyian yang mengandungi unsur-unsur kekejian, kefasikan dan menggalakkan kepada maksiat adalah haram. Ini adalah kerana nyanyian hanyalah sejumlah percakapan yang apabila elok, maka eloklah ia dan jika buruk maka buruklah ia. Oleh itu lebih-lebihlah lagi haramnya jika perkataan yang buruk itu diiringi dengan nada, irama dan ransangan.

 

3.    Mereka juga telah bersepakat bahawa setiap nyanyian yang bersih daripada muzik dan juga faktor ransangan adalah harus. Contohnya, nyanyian dalam majlis kegembiraan yang diharuskan seperti majlis perkahwinan, majlis menyambut kepulangan perantau, perayaan dan sebagainya dengan syarat penyanyinya adalah bukan dari kalangan wanita, sekiranya terdapat di dalam majlis tersebut lelaki yang halal untuk menikahinya. Ini telah dinyatakan dalam banyak nas-nas yang sahih yang akan dibentangkan nanti.

 

4.    Mereka berselisih pendapat pula pada masalah selain dari apa yang telah disebutkan di atas: Ada di antara mereka yang mengharuskan nyanyian yang diiringi oleh muzik ataupun tidak, bahkan menganggapnya sebagai perkara yang digalakkan. Ada yang mengharamkan sekiranya disertai dengan alat muzik dan sebaliknya harus sekiranya tanpa alat muzik. Ada juga yang mengharamkannya secara total sama ada dengan alat muzik atau tidak, bahkan kadang-kadang mereka menganggapnya sebahagian daripada dosa-dosa besar.

 

BIDADARI SYURGA

Soalan :

Saya ingin mendapatkan kepastian, iaitu samada ‘bidadari’ (di dalam Syurga) itu adakah bermaksud wanita sahaja?

Jawapan :

Firman Allah Taala:

"Mereka di sana mempunyai isteri-isteri yang suci, dan kami masukkan mereka ke tempat yang teduh lagi nyaman." (al-Nisaa':57)

FirmanNya lagi:

"Sesungguhnya Kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari)langsung, dan kami jadikan mereka gadis-gadis perawan, penuh kecintaan lagi sebaya umurnya." (al-Waqi'ah: 35-37)

Allah menciptakan mereka tanpa melalui kelahiran, dan secara langsung menjadi seorang gadis. Di syurga tidak ada perempuan yang tua. Semuanya muda remaja dan sebaya. Perempuan yang di dunia mati ketika berusia tua, nanti disyurga akan diubah menjadi gadis belia yang cantik, menarik dan sebaya usianya.

Rujukan:

Anta Ta'al Wa Islam Yujib, Syeikh Sya'rawi

Semuanya muda remaja dan sebaya. Perempuan yang di dunia mati ketika berusia tua, nanti disyurga akan diubah menjadi gadis belia yang cantik, menarik dan sebaya usianya.

 

Rujukan:

Anta Ta'al Wa Islam Yujib, Syeikh Sya'rawi

 

 

PERMAINAN DI FUNFAIR

Soalan :

Di funfair, biasanya pemain membayar sejumlah wang, kemudian dia menggunakan kecekapan atau kemahirannya untuk memasukkan gelang dalam paku, atau menembak sasaran, contohnya, jika masuk atau kena, dapat hadiah dan sebagainya.

1.    Adakah permainan-permainan seumpama ini dikira judi atau tidak?

2.    Apakah dhawabit (sebab) untuk menentukan ia judi?

3.    Ada pihak mengatakan jika ia menguji kemahiran, bukan judi.

Jawapan :

Definasi judi atau al-maisir dalam bahasa Arab bermaksud sesuatu permainan yang menggunakan wang sebagai taruhan; atau setiap permainan yang disyaratkan padanya seseorang yang menang akan memperolehi sesuatu daripada yang kalah; atau sesuatu permainan yang mengandungi sebarang taruhan dan orang yang menang berhak mendapat taruhan tersebut. Inilah maksud daripada kalimah `maisir' dalam surah al-Baqarah: 219 dan al-Maidah: 90-91.

Apa yang dimaklumi memang judi itu memberi manfa'at kepada pemenangnya, tetapi menimbulkan bencana dan malapetaka kepada yang kalah. Jumhur ulama' kita sepakat tentang definasi judi ialah taruhan. Adanya taruhan ini merupakan illat (sebab) haramnya judi itu. Oleh itu setiap permainan yang mengandungi unsur taruhan adalah benar-benar al maisir dan haram melakukannya.

Menjawab soalan anda, apakah permainan di funfare itu judi ?Jawabnya : Ya, ia adalah judi.

Apakah dhawabitnya? Jawab : Ia ada melibatkan wang pertaruhan.

Bagaimana dengan dakwaan ia permainan yang menguji kemahiran? Jawabnya: Musabaqah atau pertandingan kemahiran itu diharuskan jika ia tidak melibatkan taruhan (gamble); atau jika mendapat hadiah (baik berupa wang atau piala atau barang berharga) yang ditawarkan itu hendaklah disediakan oleh pemimpin atau pemerintah atau badan tertentu atau daripada salah seorang yang bertanding. Jika kesemua yang bertanding itu bertaruh (wang atau valuables), maka diklasifikasikan sebagai judi juga.

Konsep judi dan musabaqah (pertandingan yang sihat) ini perlu difahami kerana judi pada akhir zaman datang bukan namanya judi tapi dengan jenama yang indah umpamanya sports toto atau loteri kebajikan, atau funfare games. Ini adalah nama-nama yang direka untuk menutup jenayah al-maisir dan keburukannya yang amat sangat kepada manusia.

Rujukan :

Dr Mustafa al Bugho, Fiqh al-Manhaji

Mufti Brunei DS, Fatwa Mufti Brunei 1999

 

LAUH MAHFUZ

Soalan :

Bolehkah ustaz beritahu apakah maksud Lauh Mahfuz ?

Jawapan :

Ini adalah termasuk dalam bab membicarakan perkara-perkara ghaibiyat (alam ghaib) yang kita tidak ada banyak ilmu atau maklumat tentangnya. Al-Qur'an menerangkannya hanya sekali sahaja dalam ayat 21-22 surah al-Burooj. Maksud ayat, "Bahkan yang didustakan mereka itu ialah al-Qur’an yang mulia; yang tersimpan dalam Lauhul Mahfudz."

Mufassir terkemuka abad ini, al-Marhum Sayyid Qutb tidak berminat menerangkan apakah ia dan di manakah Lauh Mahfudz itu, memadailah diserahkan misteri alam ghaib ini kepada Allah. Mufassir terkemuka seperti Imam Abul Fida' Ismail ibn Kathir (Tafsir Ibn Kathir) meriwayatkan beberapa keterangan daripada sahabat tentang Lauh Mahfuz, antaranya :

1. Daripada Hasan al-Basri: “Pada sisi Allah, terletak Lauh Mahfudz, dari situlah diturunkan daripadaNya kehendakNya terhadap siapa yang dikehendaki daripadaNya.”

2. Daripada Ibn Abi Hatim, "Tiada sesuatu yang ditentukan oleh Allah melainkan ditentukan terlebih dahulu dalam Lauh Mahfudz baik al-Qur'an, apa yang sebelumnya atau yang sesudahnya."

Hanya setakat itulah maklumat yang sampai kepada kita tentang misteri Lauh Mahfudz itu dan memadailah setakat itu yang kita patut tahu. Daripada ilmu yang sedikit inilah datangnya pencarian malam Lailatul Qadr. Seluruh Malaikat berpesta melihat al-Qur'an diturunkan dari Lauh Mahfudz di alam ghaib buat pertama kalinya pada malam Lailatul Qadr. (Syeikh Mutawalli Sya'rawi, Mu'jizatul Qur'an)

Kesimpulannya, Lauh Mahfudz berada di alam ghaib, tiada siapa yang tahu rupa bentuknya. Kita tidak dituntut untuk memerah akal mencarinya. Oleh itu, Lauh Mahfudz, Sidratul Muntaha, pohon Zakum dan Khuldi, roh, alam kubur, daripada jenis apa tongkat Musa diperbuat, serunai sangkakala, siapakah Nabi Khaidir, ‘Arasy, Kursi Allah dan sebagainya adalah termasuk dalam alam ghaibiyat yang tidak mampu dicapai oleh ilmu manusia.

 

Jawapan Oleh :

Panel Ahkam Online 

BACK BACK