![]()
Ahkam Vol. IV
ASAL KEJADIAN SYAITAN DAN IBLIS
Soalan :
Apakah asal kejadian syaitan dan iblis?
Jawapan :
Bila kita menyebut tentang syaitan dan iblis, tidak
sempurna rasanya jika tidak disebut sekali gandingannya, iaitu jin.
Para ulamak berbeza pendapat mengenai asal-usul jin,
syaitan dan iblis. Hasan al-Basri berpendapat bahawa jin adalah anak iblis,
manakala manusia adalah anak Adam. Sebahagian dari mereka (jin) ada yang beriman
dan ada yang kafir. Yang kafir itu disebut sebagai syaitan.
Ibnu Abbas pula berpendapat bahawa jin itu adalah anak jaan
(jin). Mereka bukanlah dari kalangan syaitan. Mereka akan mati, sebahagiannya
mukmin dan sebahagiannya kafir. Syaitan pula adalah anak iblis. Mereka tidak
akan mati kecuali bersama iblis.
Qatadah berkata bahawa dari kalangan jin itu ada
syaitan dan dari kalangan manusia juga ada syaitan.
Al-Dumairi berpendapat bahawa yang masyhurnya ialah
semua jin itu dari zuriat iblis. Mereka yang kufur dari kalangan jin disebut
sebagai syaitan.
Menurut al-Marhum Syeikh Jadul Haq Ali Jadil Haq (bekas
Syeikh al-Azhar), Iblis adalah 'abu syaitan' (bapa syaitan). Jika
malaikat adalah tentera Allah yang mengajak kebaikkan, iblis dan syaitan adalah
sebaliknya. Mereka adalah musuh Allah yang menyeru ke arah kejahatan dan
kerosakkan. Syaitan ialah golongan yang angkuh dan derhaka dari alam jin. Mereka
adalah dari kalangan jin juga.
Kembali kepada persoalan tentang asal kejadian syaitan
dan iblis – juga jin -, mereka ini diciptakan dari api. Ini dijelaskan oleh
firman Allah Taala di dalam surah al-Hajar: 26 &27. Wallhu a'lam
Rujukan :
Buhus Wa Fatawa Islamiah Fi Qadhaya Mu'asharah -
al-Marhum Syeikh Jadul Haq Ali Jadil Haq
MENYIMPAN PATUNG
Soalan :
Apakah hukum menyimpan patung dalam Islam?
Jawapan :
Agama Islam mengharamkan patung jika menyerupai benda
hidup seperti manusia atau haiwan. Tahap haramnya bertambah apabila patung (atau
rupa) makhluk yang dipuja-puja seperti raja atau nabi,umpama al-Masih atau al-Azraa’
dan tuhan-tuhan berhala yang lain termasuk patung lembu.
Islam amat mengambil berat tentang penjagaan tauhid.
Apa sahaja yang boleh menjejaskan akidah tauhid, maka Islam terus menutup pintu
ke arahnya.
Ada yang menganggap perkara itu cuma wujud pada masa
penyembahan berhala pada masa dahulu. Sekarang ini sudah tiada berhala lagi atau
beribadat menyembahnya. Anggapan ini tidak benar kerana masih ada pada zaman ini
orang yang menyembah patung, lembu dan biri-biri.
Mengapa kita mahu menafikan realiti yang ada; di
Eropah masih ada orang yang menyembah berhala dan manusia masih lagi mempercayai
khurafat. Akal manusia pula ada kelemahan yang kadang-kala masih menerima
sesuatu perkara yang tidak logik. Seseorang yang berpelajaran juga ada kalanya
terjebak ke dalam perkara-perkara yang batil dan karut yang tidak dipercayai
walaupun oleh orang yang buta huruf.
Islam amat berhati-hati dan mengharamkan segala yang
membawa kepada penyembahan berhala atau pun terhidu baunya. Justeru, ia
mengharamkan patung-patung.
Patung-patung orang Mesir kuno termasuk dalam kategori
ini. Barangkali sesetengah orang menggantung patung-patung ini sebagai tangkal
untuk menghalang hasad dengki, usikan jin atau makhluk halus. Dalam hal ini,
bertambah haramlah kerana keharaman tangkal bercampur dengan keharaman patung.
Patung hanya diharuskan untuk permainan kanak-kanak
sahaja. Selain daripada itu, hukumnya haram dan setiap orang Islam mesti
menjauhinya.
SOLAT DI GEREJA
Soalan :
Adakah harus seorang Muslim solat di gereja jika tiada
tempat lain untuk mengerjakannya seperti di negara Eropah ?
Jawapan :
Rasulullah telah bersabda yang bermaksud: “Aku
akan beri lima perkara yang aku tidak pernah beri kepada sesiapa.” Lalu
baginda pun menyebutkan salah satu daripada lima perkara tersebut : “Aku
jadikan tanah ini sebagai masjid dan tempat yang bersih,, sesiapa yang ingin
bersembahyang, maka bersembahyanglah.” (Riwayat al-Bukhari)
Oleh itu, seluruh muka bumi ini adalah masjid untuk
orang Islam dan tempat untuk sujud dan bersembahyang. Maksudnya, harus seseorang
itu bersembahyang di atas tanah. Lebih elok baginya untuk mengelak tempat-tempat
begini (gereja) kerana dikhuatiri berlaku syubhat.
Namun, jika dia tidak mendapati sebarang tempat
kecuali gereja, lalu dia bersembahyang di situ, tidak mengapa baginya kerana
muka bumi ini milik Allah dan boleh menjadi masjid atau tempat sujud bagi setiap
orang Islam.
Saidina Umar hampir-hampir bersembahyang di sebuah
gereja apabila disuruh berbuat demikian, tetapi beliau berkata: “Tidak, aku
tidak akan bersembahyang di sini, nanti orang lain akan berkata: Umar telah
mengerjakan sembahyang di sini, lalu mereka menganggapnya sebagai tempat
bersembahyang bagi orang Islam”.
Oleh itu, tegahan ini hanyalah kerana kekhuatiran
sedemikian, bukan kerana ia gereja.
*Yusuf al-Qaradhawi, Fatawa al-Mu’asarah, Jld.
1, Dar al-Salam, Kaherah, 1990
MEMEGANG AL-QUR’AN DALAM SOLAT
Soalan :
Kami lihat ramai orang yang sembahyang terawikh dan
membaca al-Qur’an sambil memegang mashaf al-Quran di tangan mereka. Kemudian
mereka meletakkannya di dalam baju mereka atau di atas kerusi dan kemudiannya
diambil sekali lagi. Apakah pandangan agama tentang perkara ini ?
Jawapan :
Memang diketahui bahawa membaca sedikit daripada al-Qur’an
selepas al-Fatihah adalah sunat pada dua rakaat yang pertama dalam sembahyang,
sama ada sembahyang berimam atau bersendirian. Jikalau ditinggalkan membacanya,
sembahyang itu sah, tetapi kurang pahalanya.
Sekiranya orang yang bersembahyang itu hendak
membacanya, eloklah membaca apa yang dihafalnya walaupun diulang pada setiap
rakaat dan sembahyang. Namun, apabila hendak membaca ayat yang tidak dihafal,
tentu memerlukan kepada mashaf al-Qur’an, jadi adakah harus berbuat demikian?
Diriwayatkan oleh Imam Malik bahawa Zakuan, hamba
kepada Saiyidah ‘Aisyah telah menjadi imam pada bulan Ramadhan dan membaca
dengan melihat al-Quran. Ini tidak mengapa menurut pendapat mazhab Syafie’,
bersyaratkan tidak melakukan pergerakan yang membatalkan sembahyang seperti
meletakkan al-Qur’an, kemudian memegang dan membuka untuk membacanya.
Jikalau dilakukan dengan tiga pergerakkan
berturut-turut tanpa berhenti, maka sembahyang itu batal. Kadang-kadang meletak
al-Qur’an di atas sesuatu yang tinggi di hadapan imam untuk membacanya dapat
mengurangkan pergerakkan dan tidak perlu menyelak muka surat al-Qur’an dengan
terlalu banyak. Ini kerana kurang menyelak muka surat tidak membatalkan
sembahyang. Al-Nawawi telah menyatakan dalam al-Majmu’ “…dan jikalau
menyelak muka surat al-Qur’an sekali sekala tidak membatalkan sembahyang.”
Al-Fatawa wa al-Ahkam,
Syeikh ‘Atiah Saqar, Ketua Lujnah Fatwa al-Azhar, Mesir
Jawapan Oleh :
Panel Ahkam Online