![]()
Ahkam Vol. VI
MENGALIR AIR MANDI HADATH
Soalan :
Saya ada kemusykilan tentang mandi hadas besar / wajib.
Saya ada membaca satu buku yang mengatakan air yang kita guna mestilah air yang
mengalir.
Jawapan :
Maksud mengalir ialah mengalirkan air ke tubuh badan.
Ini berbeza dengan menyapu air dan merenjis air. Kita mengambil air dengan satu
bekas, kemudian dijiruskan ke tubuh badan atau objek lain. Ini termasuk di dalam
kata mengalirkan air.
Kita mencelupkan tangan kita pada air lalu kita sapukan
ke objek tertentu; ini namanya menyapukan air, bukan mengalirkan air.
Sebagaimana wajib menyapu sebahagian kepala pada wuduk. Kita mencelupkan air
kemudian kita renjiskannya pada objek tertentu, ini namanya merenjiskan air,
bukan mengalirkan air. Merenjiskan air boleh dilakukan ketika membasuh air
kencing kanak-kanak lelaki yang belum mencecah usia 2 tahun, serta belum memakan
apa-apa kecuali air susu ibunya.
Ketika berwudhuk kita wajib mengalirkan air pada muka,
dua tangan dan dua kaki. Manakala ketika mandi wajib, wajib mengalirkan air pada
seluruh anggota tubuh badan. Tidak boleh dengan menyapu atau merenjis sahaja.
Saudara ambil satu bekas, kemudian jiruskan/siram ke
kepala contohnya, air itu sekalipun sedikit, pasti akan berjalan dan menjalar ke
tempat-tempat lain. Ini maksud mengalirkan air.
Rujukan :
Kifayatul Akhyar, vol 1, Syeikh Taqiyudin Abu
Bakar Muhamad al-Husaini
Al-Feqh al-Islami Wa Adillatuh,
vol. 1, Dr Wahbah al-Zuhaili
MEMAKAI RAMBUT PALSU
Soalan :
Apakah hukumnya memakai rambut palsu? Bagaimana pula
pendapat sesetengah orang yang menyangka rambut palsu adalah penutup aurat
rambutnya yang asal kerana rambut wanita itu aurat?
Jawapan :
Islam mensyariatkan bagi lelaki dan wanita berhias di
samping itu menjaga fitrah wanita dan sifat-sifat kewanitaannya. Harus bagi
wanita perhiasan yang diharamkan ke atas lelaki seperti memakai sutera dan
barang kemas (perhiasan) yang dibuat daripada emas.
Namun, Islam melarang sesetengah bentuk perhiasan yang
terkeluar daripada fitrah dan mengubah kejadian Allah yang merupakan antara
jalan-jalan syaitan dalam menyesatkan manusia. Firman Allah: “Dan aku akan
menyuruh mereka (merubah ciptaan Allah) lalu mereka benar-benar merubahnya.”
(Al-Nisa’ : 119)
Dalam sebuah hadith, Rasulullah melaknat orang yang
mencucuk jarum di muka atau di tubuh kemudian meletak nila di tempat yang kena
cucuk agar tidak hilang bekas berwarna hitam itu (dengan tujuan bersolek/tatoo)
dan orang yang kena tatoo. Begitu juga orang yang mengikir gigi dan yang kena
kikir dan yang mencukur bulu kening dan yang kena cukur dan mereka yang
menyambung rambut asal dengan rambut palsu.
Tatoo ini sudah terkenal sejak dahulu lagi iaitu
mengukir dengan cara mencucuk dengan warna. Adapun mengikir gigi ialah mengikir
gigi dan memendekkannya dengan alat pengikir. Mencukur bulu kening iaitu
menghilangkan bulu kening dengan tujuan meninggi, menyamakannya dan sebagainya.
Menyambung rambut iaitu menyambung rambut asal dengan
rambut palsu seperti memakai rambut palsu yang ditanya oleh orang yang
menghadapi masalah ini. Semua yang di atas adalah haram hukumnya dan Nabi
melaknat orang yang melakukannya atau orang yang meminta berbuat demikian.
Dengan inilah kita dapat mengetahui hukum yang
dinamakan memakai rambut palsu atau seumpamanya. Dakwaan bahawa dengan memakai
rambut palsu dapat menutup aurat itu adalah tidak benar dan sesat kerana
menyeleweng daripada hakikat yang sebenarnya. Penutupan aurat rambut sudah
diketahui baik dari segi akal dan adat.
Rambut palsu ini adalah merupakan perhiasan yang
melebihi daripada rambut asal, dimana ia merupakan penipuan dan pemalsuan. Ia
juga dipanggil tabarruj dari sudut yang lain pula. Semuanya ini membawa
kepada haram. Memakai rambut palsu adalah haram, walau pun dalam di dalam rumah.
Lebih haram lagi jika ia tidak bertudung rambut kerana menyalahi nas yang jelas.
Firman Allah, “Hendaklah kamu melabuhkan tudung kamu sehingga menutupi dada
kamu” (Al-Nur : 31)
Tidak seorang pun yang menganggap rambut palsu itu
sebagai tudung. Pemakaiannya adalah haram ke atas wanita, lebih-lebih lagi
dipakai oleh lelaki.
MENCELUP KUKU
Soalan :
Apakah hukum mereka yang mencelup kuku dengan bahan
pewarna yang dinamakan pencelup kuku?
Jawapan :
Pencelup kuku akan menghalang air untuk sampai ke
kulit, iaitu anggota wudhu. Oleh itu, tidak sah wudhunya dan tidak boleh pula
mendirikan solat.
Mereka yang solat lima waktu sehari semalam mestilah
berwudhu dan suci. Tidak mungkin mereka mempunyai masa untuk menghilangkan kesan
pencelup kuku supaya boleh mengerjakan solat yang perlu bersuci dan bersih
sebelum menyerjakannya.
*Yusuf al-Qaradhawi, Fatawa al-Mu’asarah,
Jld.2, Dar al-Salam, Kaherah, 1990
KHITAN (BERKHATAN) WANITA
Soalan :
Apakah hukum Islam tentang khitan bagi anak-anak
perempuan?
Jawapan :
Khitan (berkhatan) untuk lelaki adalah sunat,
manakala masalah khitan perempuan telah menjadi perselisihan pendapat antara
ulama. Kebanyakkan ulama berpendapat khitan bagi bayi perempuan ialah makramah
(satu kemuliaan) sahaja. Disertakan di sini tulisan Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawy
dalam karyanya, Fatawa al-Mu’asarah berkenaan masalah ini :
Ulama telah berselisih pendapat dalam masalah ini,
bahkan oleh para doktor sendiri, dan terjadi perdebatan panjang mengenai hal ini
di Mesir selama beberapa tahun. Sebahagian doktor ada yang menyuruh dan
sebahagian lagi menentangnya, demikian pula dengan ulama, ada yang menyuruh dan
ada yang menentangnya.
Pendapat yang paling moderat, paling adil, paling rajih,
dan paling dekat kepada kenyataan dalam masalah ini ialah khitan ringan (berkhatan
sedikit), seperti disebut dalam beberapa hadith - walaupun tidak sampai ke
darjat sahih - bahawa Nabi saw pernah menyuruh seorang perempuan yang berkerja
mengkhitan wanita :
"Potonglah sedikit dan jangan kau potong yang
berlebihan, karena hal itu akan mencerahkan wajah dan menyenangkan suami."
Yang dimaksud dengan isymam ialah taqlil
(menyedikitkan), dan yang dimaksud dengan laa tantahiki ialah laa
tasta'shili (jangan kau potong sampai pangkalnya). Cara pemotongan seperti
yang dianjurkan itu akan menyenangkan suaminya dan menceriakan wajahnya, sebab
itulah ini lebih sesuai.
Mengenai masalah ini, keadaan di masing-masing negara
Islam tidak sama. Maksudnya, ada yang melaksanakan khitan wanita dan ada pula
yang tidak. Walau bagaimanapun, bagi orang yang memandang mengkhitan wanita itu
lebih baik bagi anak-anaknya, hendaklah ia melakukannya, dan saya bersetuju
dengan pandangan ini, khususnya pada zaman kita sekarang ini.
Orang yang tidak melakukannya, tidaklah ia berdosa,
kerana khitan itu tidak lebih dari sekadar memuliakan wanita, sebagaimana kata
para ulama dan seperti yang disebutkan dalam beberapa athar (hadith).
MASALAH KWSP
Soalan :
Assalamualaikum,
1. Saya keliru tentang masalah duit
KWSP. Saya inginkan penjelasan mengenai hukum pengagihan duit KWSP sekiranya
ahli mati. Ini kerana saya dapati dalam borang penama KWSP ada pernyataan
pembahagian mengikut percentage kepada orang yang akan di beri wang tersebut
sekiranya berlaku kematian ahli. Apa yang musykil ialah ada ahli yang meletakkan
nama anak atau isteri mengikut percent masing-masing. Setahu saya semua harta
tersebut akan di faraidh kan mengikut perkiraan faraidh. Bagaimana pula boleh
KWSP laksanakan pembahagian mengikut percent yang si mati tetapkan?
2. Antara Faraidh dan wasiat mana
yang lebih dahulu kita laksanakan? Jazakallahu khiran katsira.
Jawapan :
1. Majlis Fatwa Kebangsaan telah
menetapkan pesaka KWSP hendaklah dibahagi secara faraidh. Penamaan yg ditetapkan
oleh KWSP hanyalah sebagai pemegang amanah sahaja.
2. Wasiat didahulukan dan tidak
boleh melebihi sepertiga pesaka sahaja. Kemudian barulah bakinya 2/3 itu
difaraidhkan. Allahu a'alam
Jawapan Oleh :
Panel Ahkam Online