![]()
Ahkam Vol. VII
HAID & NIFAS
Soalan :
Persetubuhan dengan isteri semasa haidh seperti yang
diketahui umum adalah jelas hukumnya haram. Sekiranya hubungan tersebut terjadi
juga, adakah kesalahan tersebut dikenakan apa-apa kifarat (denda).
Berapakah tempoh nifas orang yang beranak?
Jawapan :
Haram hukumnya menyetubuhi isteri dalam haidh baik di
awal, pertengahan, di akhir atau bila haidh sudah kering (belum mandi). Dalilnya
ialah Surah alBaqarah ayat 222 (Janganlah kamu mendekati mereka hingga mereka
bersih). Sebarang kifarat tidak ditetapkan jika terlanjur bersetubuh, tetapi
hendaklah bertaubat dan beristighfar (Fiqh Islami)
Madzhab Syafi'iy antara madzhab yang paling teliti
dalam membuat penyelidikan mengenai tempoh nifas. Madzhab Syafi'iy menggunakan
metod istiqro' (kajiselidik) dalam menentukan tempoh nifas. Dalam keadaan
luar biasa, ada wanita yang melahirkan anak tanpa nifas. Tempoh minima (nifas)
bagi kes seperti ini ialah satu detik. Tempoh normal nifas ialah 40 hari,
manakala tempoh abnormal ialah 60 hari. Manakala Syaikh Sayyid Sabiq (Fiqh
Sunnah) berpendapat tiada tempoh minima dan maksima, jika sudah yakin kering,
maka mandi dan solatlah seperti biasa.
BEZA AIR MANI DAN MAZI
Soalan:
Sila jelaskan perbezaan antara air mazi dan air mani
dan hukum bersuci keduanya?
Jawapan :
Air mani: Air yang keluar dari kemaluan ketika memuncak
syahwat.
Terdapat tiga tandanya, iaitu:
1.
Mani mempunyai bau seperti bau adunan roti atau mayang kurma
ketika basah. Dan berbau seperti bau telur ketika kering.
2.
Keluarnya memancar dengan agak tersendat. Firman Allah:
"Dari air yang memancar." (Al-Thariq:6)
3.
Merasa lazat ketika keluar dan sesudahnya, serta mengalami
kekenduran zakar dan syahwat menjadi lemah.
Tidak perlu ada ketiga-tiga tanda di atas, cukup dengan
salah satu darinya sahaja untuk menetapkan bahawa yang keluar itu adalah mani.
Tanda-tanda mani perempuan sama dengan lelaki sebagaimana di atas. Menurut al-Nawawi
di dalam syarah Muslim: Tidak disyaratkan keluar memancar bagi perempuan.
Hukumnya: Suci, tidak najis menurut mazhab Syafi'i.
Cara cucinya: Disunatkan membasuh
Air mazi: merupakan air berwarna putih yang keluar
tanpa membuak pada saat memuncaknya nafsu seseorang ataupun ketika teringat
persetubuhan.
Hukumnya: Najis. Dalilnya ialah hadis Ali riwayat
syaikhani: "Hendaklah dia membasuh zakarnya dan berwuduk."
Cara cuci: Seperti mencuci najis mutawassitah.
Rujukan:
Kifayatul Akhyar, vol 1, Syeikh Taqiyudin Abu
Bakar Muhamad al-Husaini
Al-Feqh al-Islami Wa Adillatuh,
vol. 1, Dr Wahbah al-Zuhaili.
KEPIMPINAN WANITA
Soalan :
Apakah Islam menghalang wanita daripada kepimpinan?
Jawapan :
Islam tidak melarang wanita menjadi pemimpin. Tidak ada
nas yang qat'iy (tetap) yang melarang wanita menceburi politik dan
kepimpinan umat.
Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan: Wanita yang
tidak dikurniakan anak, jika mempunyai anak masih mempunyai lebihan waktu dan
kekuatan, ilmu dan kebijaksanaan; juga wanita yang mencapai usia hampir 50an
atau wanita yang tidak lagi diganggu oleh sifat semulajadinya; atau wanita yang
mana anak-anaknya sudah berumah tangga atau wanita yang telah mencapai
kematangan dari sudut usia dan pengalaman, atau memiliki kelapangan yang boleh
dimanfa'atkan untuk tugasan umum kemasyarakatan....maka apakah yang menghalang
wanita menceburi politik dan kepimpinan umat?
Ijma' fuqaha berpendapat maksud kepimpinan umum yang
dilarang keatas kaum wanita ialah menjadi Ketua Negara atau Imam atau Khalifah
sahaja. tetapi dalam bidang selain itu seperti kepimpinan dalam ijtihad dan
fatwa, pentadbiran sektor awam dan swasta, wanita sebagai hakim dan memberi
saksi adalah dibenarkan.
Oleh itu wanita boleh menjadi menteri, menjadi hakim,
ahli parlimen atau pengawas umum badan-badan penting negara (seperti perlantikan
Al-Syifa' binti Abdullah al-Adawiah sebagai penguasa pasar (macam Datuk Bandar
KL).
SUJUD SYUKUR & TILAWAH
Soalan :
Bagaimanakah untuk melakukan sujud syukur dan juga
sujud tilawah?
Jawapan :
1. Sujud Tilawah : sujud kerana membaca atau mendengar
ayat sajdah; Tatacara: jika berada dalam solat, hendaklah bertakbir dan sujud,
kemudian bertakbir untuk bangun dari sujud dan sambung solat spt biasa. Jika
berada di luar solat, menghadap kiblat, niat, takbir, sujud, memberi salam.
2. Sujud Syukur: sujud terima kasih kerana di beri
nikmat atau dihindar daripadfa bahaya. Ia hanya dilakukan di luar solat. Syarat
dan tatacara sama seperti sujud tilawah. (Ruj : Fiqh Sunnah)
TANGKAL & AZIMAT
Soalan :
Apa pandangan mengenai tangkal dan azimat mengikut
pandangan Islam?
Jawapan :
Tangkal dan Azimat sudah dikenali oleh masyarakat Arab
jahiliyah lagi dengan pelbagai nama dan istilah; antaranya tamimah (batu-batu
permata yang dipakai pada badan anak-anak mereka); wad'ah (kulit siput atau
kerang laut yang juga dijadikan tangkal); ada nama raqeeqah, dsbnya. Kesemua
tangkal dan azimat yang bukan dari al-Qur'an atau sunnah yang wurud (diterima
dari Nabi saw) adalah haram.
Berbeza pula jika tangkal dan azimat atau jampi mentera
dari ayat al-Qur’an atau al-Hadis. Di sini fuqaha' berselisih tentang
keharusannya. Imam Jalaludin as-Suyuti itu semua diharuskan jika memenuhi
syarat-syarat berikut:
i. Ia diperbuat dari ayat-ayat al-Qur'an, nama Allah
atau Sifat-Nya;
ii. Ia ditulis dalam bahasa Arab dan difahami
maksudnya; dan
iii. Pemakainya hendaklah beri'tikad bahawa tangkal itu
tidak ada kesan dengan sendirinya, melainkan dengan izin Allah jua. Ruj : Imam
alBanna (Syarah Usyul Asyrin)
AZAN SEBELUM WAKTU SUBUH
Soalan :
Adakah harus melaungkan azan satu jam atau setengah
jam sebelum fajar siddiq dan haruskah juga Muazzin menyebut : “Sembahyang itu
lebih baik daripada tidur?”
Jawapan :
Sebenarnya azan berfungsi sebagai alat pemberitahuan
masuknya waktu sembahyang. Sudah semestinya masuk waktu dahulu sebelum muazzin
melaungkan azan.
Oleh itu, melaungkan azan sebelum waktunya tidak
dikira kerana ia tidak memenuhi tujuan azan itu, kecuali ketika sembahyang
subuh. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Bilal (bin Rabah) akan
melaungkan azan disebelah malam, maka makanlah dan minumlah hingga Ibnu Ummi
Maktum pula yang azan.”
Ini bererti ketika Bilal azan harus bagi orang Islam
bersahur, makan dan minum sehinggalah Ibnu Maktum melaungkan azan manandakan
masuk waktu sembahyang.
Hadis ini disepakati oleh para ulama’ kerana waktu
fajar sebenarnya adalah waktu tidur dan semua manusia pada masa itu sedang
nyenyak tidur. Mereka perlu diberitahu terlebih dahulu sebelum masuk waktu
supaya mereka akan tersedar dan bersedia. Orang yang berpuasa boleh bersahur
pada waktu itu dan mengejutkan orang yang sedang tidur seperti yang dilakukan
oleh Bilal dan Ummi Maktum.
Apabila orang ramai mendengar Bilal melaungkan azan,
tahulah mereka bahawa dia azan sebelum masuk waktu untuk menyedarkan orang yang
tidur dan memberi peluang bersahur kepada orang yang berpuasa.
Apabila mereka mendengar Ibnu Ummi Maktum pula
melaungkan azan, maka tahulah mereka yang waktu subuh telah masuk dan bolehlah
bersembahyang sunat sebelum menunaikan sembahyang fardhu subuh.
Dalam azan yang pertama disunatkan agar tidak menyebut
“Sembahyang itu lebih baik daripada tidur.”
Ini adalah satu perbezaan yang penting yang dapat
membezakan diantara azan yang pertama dengan azan yang kedua. Azan dalam bentuk
ini di syara’kan pada waktu fajar dan orang ramai akan kenal suara azan
pertama dan suara yang lain pada azan kedua.
Oleh itu, para ulama’ mengharuskan azan yang pertama
sebelum masuk waktu fajar.
*Yusuf al-Qaradhawi, Fatawa al-Mu’asarah,
Jld.1, Dar al-Salam, Kaherah, 1990
Jawapan Oleh :
Panel Ahkam Online